
Pendidikan Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dimartabatkan dan diperluas ke peringkat antarabangsa khususnya menerusi teknologi maklumat dan komunikasi. Kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu menyediakan murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat. Murid mampu mengungkapkan bidang ilmu
daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah merangkumi kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis.
Penumpuan pada kemahiran-kemahiran ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup. Pendidikan Bahasa Melayu juga memberikan pertimbangan terhadap pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain di kalangan murid dengan menekankan pembelajaran masteri dan penyerapan kemahiran bernilai tambah. Aktivti kokurikulum yang dijalankan di luar waktu sekolah adalah penting sebagai sokongan untuk memantapkan ilmu dan pengalaman pembelajaran di bilik darjah.Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun Tiga merupakan perincian kepada kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah dan berfungsi sebagai panduan untuk guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Huraian sukatan pelajaran ini disediakan bagi setiap tahun pembelajaran, iaitu tahun satu hingga tahun enam.Huraian sukatan pelajaran ini mengandungi Matlamat, Objektif, Organisasi Kurikulum, Penerangan tentang Huraian Sukatan Pelajaran, dan Strategi Pengajaran dan Pembelajaran. Organisasi Kurikulum merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran,Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum.